Program galakan membaca yang dilaksanakan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia adalah Program ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca atau Program NILAM
yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1999. Pelaksanaan Program NILAM ini
dimulakan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat
Membaca peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1998. Program ini
dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu
atau Peralihan bagi sekolah menengah dan rekod pembacaan murid-murid ini
diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.
‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan
atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah
dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi
penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan
secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia
dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian
Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan
untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah
rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya
pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia
Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat
yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam
sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan.
Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di
sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum
mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu
mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih
berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.
Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam
kalangan murid.
• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif
bagi menyemai tabiat membaca ini
• Membaca dan merekod bahan
bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan
mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan
sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.
• Mengesahkan
rekod dan mengumpul data
Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod
bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod
hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada penyelaras Pusat
Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data
pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di
kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri
dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.
• Memberi
Pengiktirafan dan Ganjaran
Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu
memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan
berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan
NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan
NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan
murid dan sijil berhenti.
Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk
membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap
ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu pencambahan penggunaan
bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA (RP).
TAHAP JAUHARI
Tahap Jauhari menggalakkan murid menambah bilangan bacaan mereka
dan ia dijalankan pada dua peringkat persekolahan :
a. Sekolah Rendah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku sebaik sahaja
mereka tahu membaca dan mula belajar (Pertengahan Tahun dalam Tahun Satu).
Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut :
Jumlah Buku
|
Pengiktirafan
|
90 - 179
|
Gangsa
|
180 - 269
|
Perak
|
270 - 359
|
Emas
|
360 ke
atas
|
NILAM
|
b. Sekolah Menengah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku apabila
mereka mula belajar di Tingkatan Satu atau Peralihan. Mereka perlu berusaha
untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:
Jumlah Buku
|
Pengiktirafan
|
72 - 143
|
Gangsa
|
144 - 215
|
Perak
|
216 - 287
|
Emas
|
288 ke
atas
|
NILAM
|
Tahap RAKAN PEMBACA (RP) mengutamakan aspek kepimpinan dalam
aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid layak memasuki
tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan
menarik minat orang lain supaya suka membaca. Walau bagaimanapun aktiviti Tahap
JAUHARI masih diteruskan.
Pengiraan markah bagi aktiviti ini diberikan mengikut jumlah
aktiviti atau sesi aktiviti (dan bukan jumlah bilangan pendengar, kecuali
aktiviti meminjamkan buku) yang dijalankan mengikut kesesuaian umur murid
seperti :
- Bercerita (1 sesi = 5 markah)
- Bicara Buku (1 sesi = 5 markah)
- Ulasan Buku (1 sesi = 5 markah)
- Meminjamkan buku (1buku x 5 peminjam = 5 markah)
• Murid pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan pemarkahan usaha
mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP :
Jumlah markah
aktiviti
|
Pengiktirafan
|
100 – 199
|
Gangsa
|
200– 299
|
Perak
|
300 – 399
|
Emas
|
400 ke atas
|
NILAM
|
Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua walaupun
selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca di Pusat
Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual kelas
terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk menjalankan
aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang
melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti dalam Minggu Pusat
Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain.
Murid juga boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa
waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti Bicara Buku dan
menulis ulasan buku.